05 November 2009

Minggu Yang Sibuk

Salam pengakap, minggu lalu merupakan minggu yang paling sibuk, kerana kawan perlu menguruskan beberapa perkara dalam satu masa. 'Wife' kawan dah mula ada kelas di KUIS, pada masa yang sama program perkhemahan pengakap muda dijalankan di SEMASHUR, dan pada ketika yang sama perlu menghadiri majlis perkahwinan sepupu kawan di Ampang Tasik. Hmm...semua perlu ditangani dengan sebaik mungkin kerana semua tu 'releven' dengan diri kawan. Anak-anak macam biasa bersama opah mereka di Ampang, 'wife' pulak kawan perlu hantar ke kuliah, berulang- alik le sebab nak hadir majlis perkahwinan tu.

Jumaat, 3.00 petang uruskan bas budak-budak pengakap ke perkhemahan (22 orang) dengan peralatan yang perlu dibawa. Sampai di 'venue' perkhemahan, uruskan pendaftaran. Lewat malam balik kerumah dan bawa famili ke rumah pak cik kawan di Ampang Tasik untuk majlis kenduri tu. Lewat malam, balik ke Ampang dan bermalam di sana.

Awal pagi Sabtu kawan menghantar 'wife' kawan ke KUIS dan menunggu sehingga pukul 12 tengahari. Selepas tu bertolak ke malis perkahwinan tu semula. Mmm...'part' ni tak seronok nak dikenangkan sebab masa kenduri tu, laptop kawan kena 'songlap' kat tempat letak kereta...lebur le Compaq Presari0 V3000 dengan 'charger' yang bernilai RM3300 pada tahun 2007. Bukan tu saja, modem USB Broadband Maxis juga hanyut bersama, 'charger' nokia N97 dan sebuah 'mouse' yang 'cute' tu. Mmm...hilang 'mood' kawan sepanjang hari tu.

Petang, kawan bergegas balik ke Bukit Beruntung dan singgah untuk ambil cenderamata perasmian perkhemahan di Bukit Sentosa. Malam tu bertolak ke SEMASHUR untuk bersama-sama PLD dan budak pengakap yang terlibat dalam perkhemahan tu. Sehingga lewat pagi kawan berada di situ dengan hati yang 'gundah-gulana'...Mungkin bukan rezeki kawan nak kekal dengan Presario V3000 yang telah banyak berjasa tu.

Awal pagi, kawan bertolak ke Ampang dan jam 9.00 pagi kawan bergerak SEMASHUR semula untuk menguruskan budak-budak tu balik. Pukul 11.00 balik semula ke Ampang untuk menghantar 'wife' ke KUIS semula. Sementara menunggu isteri selesai kuliah, kawan 'bantai' tidur kat tepi tasik di situ. Dan, bila tau kuliah berlanjutan sehingga lewat petang, kawan bertolak ke Low Yat untuk mencari pengganti V3000 tu...dan akhirnya hati terpaut pada Compaq Presario CQ35 dan lebur lah RM .... dari akaun simpanan kawan. Nak buat macam mana dah hilang kenalah cari penggantinya.

Kalau difikir-fikirkan memanglah situasi yang berlaku pedih untuk dikenangkan, tapi kawan melihat dari perspektif yang lebih rasional, dengan memujuk hati dan menganggap semua yang berlaku adalah 'cobaan' untuk diri kawan...

18 September 2009

Perkhemahan Kadet Pertahanan Awam (KAPA)

Salam pengakap, salam ramadhan dan salam aidilfitri. Dalam bulan puasa ni aktiviti kepengakapan ditangguhkan dahulu, tapi kawan pesan pada budak-budak ambil masa ni untuk menyemak dan melengkapkan buku log masing-masing; buku log peribadi mahupun buku log lencana (kemajuan & kepandaian). Dalam perancangan PPM daerah akan mengadakan perkhemahan lencana Pengakap Muda pada akhir bulan Oktober ini.

'Post' kali ini kawan nak kongsi pengalaman mengikuti perkhemahan KAPA yang telah berlangsung dalam bulan Jun lepas. Sebenarnya di sekolah kawan tak ada KAPA, tapi disebabkan semua sekolah terlibat sebagai ahli jawatankuasa, kawan dan tiga orang rakan telah diminta untuk membantu sebagai urus setia pertandingan dalam kem itu.

Setelah mendapat bahan-bahan berkaitan pertandingan yang akan dijalankan melalui internet, kawan dan rakan-rakan bergerak ke tapak kem, dan dalam taklimat oleh pengerusi pengelola pada malam tu nampak gayanya segalanya telah diaturkan oleh jurulatih-jurulatih JPA. Kawan tak menjadi masalah dalam perkara tu, mana yang baik dan mudah jalan saja. Lagipun mereka lebih tahu tentang peraturan-peraturan pertandingan yang bakal dijalankan, kami jadi pemerhati sahaja dalam kem tersebut.

Banyak juga ilmu yang kawan dapat (walaupun jadi pemerhati saja), dan pada pendapat kawan aktiviti yang dijalankan tidak jauh berbeza dengan aktiviti kepengakapan. Aktiviti KAPA lebih berfokus kepada aktiviti menyelamat, melawan kebakaran, melepasi halangan dan bantu mula. Aktiviti-aktiviti tersebut semuanya ada dalam kemahiran pengakap mungkin istilah yang digunakan berbeza-beza.

Sepanjang perkhemahan tu berlangsung, sempat juga kawan dan rakan-rakan pergi memancing di sungai yang ada di situ. Okay juga lah, ambil peluang untuk menikmati kehijauan hutan dan kedinginan air sungai tu (air sungai memang jernih, sebab belum tercemar). Dapat le dua ekor ikan tengas, seekor kami beri pada anak orang asli yang berkelah di situ dan seekor lagi rakan bawa balik. Walaupun kawan tak terlibat dengan perkhemahan tu sepenuhnya, kawan tetap 'enjoy' dan dapat pengalaman yang sangat berguna.

23 July 2009

Aktiviti dan Program

Salam pengakap, sudah agak lama tak 'update' blog ni, mintak maaf banyak-banyak daripada rakan-rakan yang singgah menziarah. Tidak banyak yang nak dikongsikan dalam 'post' kali ini , aktiviti kepengakapan di 52husel taburascout berjalan seperti biasa. Kebanyakan aktiviti berjalan secara dalaman sahaja, cuma beberapa aktiviti yang dibuat di luar stesen.

Semasa hari pertama cuti penggal, bawa budak-budak pengakap buat kajian di hutan FRIM bagi melengakapkan sebahagian daripada syarat lencana ahli perhutanan. Sepanjang hari di situ, banyak juga aktiviti yang dapat dijalankan; titian kanopi, penjelajahan hutan, mengenal pokok-pokok kayu dan sebagainya. Balik daripada FRIM singgah kedai pengakap di Selayang Mall, budak-budak pengakap tu sakan membeli barang-barang cenderamata pengakap. Pada hari yang sama. dua orang ahli pengakap 52husel taburascout menyertai kontinjen Selangor ke Jambori Melaka Bandaraya Bersejarah . Kedua-duanya lelaki; seorang pengakap remaja dan seorang lagi pengakap muda.

Minggu kedua sekolah dibuka, kawan buat perkhemahan Lencana Maju untuk budak-budak yang telah mendapat Lencana Usaha. Okay jugak lah, bilangannya kecil sahaja , 20 orang (11 lelaki dan 9 perempuan). Sepanjang perkhemahan semua mereka uruskan sendiri daripada memasang khemah, memasak, sentri dan sebagainya. Kawan cuma memantau dan mengajar perkara-perkara yang mereka tak biasa seperti Organisasi Pengakap Daerah dan Malaysia.

Dan, yang terbaru (minggu lepas) bawa budak-budak pengakap menyertai Kempori Gombak 2009 di Kem Templer. Hanya beberapa buah sekolah daripada Husel dijemput termasuk SMK Tabura. Seramai 17 orang PM (10L+7P) telah menyertai kempori tersebut dengan jayanya. Kawan memang suka bawak budak-budak tu pergi kempori sebab banyak kemahiran dan pengalaman yang mereka perolehi. Kawan tengok budak-budak tu pun gembira sebab dapat pergi kempori, sampai semalam mereka masih lagi bercerita sesama sendiri kenangan semasa mereka berkempori. Seperti biasa kawan tumpang gembira apabila melihat mereka gembira, walaupun tidak cukup tidur sepanjang kempori berlangsung....
2010 Jambori Malaysia Ke-12 dan Jambori Selangor di kem Templer...

10 May 2009

Tugas Pengurusan

Salam pengakap,...Berbalik dengan 'khabar' mengenai kawan yang akan berpindah sekolah dalam 'post' yang lepas, dengan cepat 'khabar' tu tersebar dalam kalangan budak-budak pengakap. Setiap hari ada saje budak-budak yang datang bertanya tentang berita tu. Kawan katakan pada mereka yang kawan belum pasti lagi, tunggu dulu keputusan temuduga tu, tapi sebenarnya kalau berjaya, tawaran tu adalah biasiswa untuk belajar secara 'part time' bermaksud kawan masih lagi ada di sekolah.

Pada 25 April, kawan turut serta mengikuti kontinjen husel seramai 87 orang (ahli+pemimpin) ke majlis penutup sambutan 100 tahun PPM di Stadium Negara. Bagi ahli 52husel, kawan bawa budak-budak tingkan 3 sebab prorgam tu pendek saja, tak mengganggu mereka buat persediaan PMR. Dalam majlis tu kawan berpeluang berjumpa kawan-kawan lama bertugas satu sekolah; En Chayed Basirun (DC Kajang), En Amir Hamzah Aman (Jurulatih Kebangsaan) dan En Nordin Rasidi (PLD Kajang). En Chayed sama bertugas dengan kawan semasa kawan 'posting' di SMK Taman Seraya, Ampang, manakala En Amir Hamzah pula sama-sama membuka SMK Bandar Baru Batang Kali, dan En Nordin kawan semasa belajar di MPSAH (tahun 86-88).

Minggu lepas, Tn DC Husel maklumkan kepada kawan bahawa mesyuarat kontinjen Selangor ke Jambori Melaka akan berlangsung di SMK Tabura. Hmm,...sudah tentu pendaftaran, persiapan tempat dan jamuan perlu diuruskan supaya mesyuarat tu berjalan dengan lancar. Tambahan lagi, Tn Hj Ishak Joned (SC) dan Tn Hj Rahmat Jaafar (ASC), Tn Md Arif (ASC) akan hadir dalam majlis tersebut. Sudah tentu persiapan yang sebaik mungkin dibuat kerana pengurusan majlis yang baik akan menjadi petunjuk kepada kesiapsiagaan Husel menganjurkan program dan aktiviti kepengakapan. Syukur, alhamdulillah semuanya berjalan lancar, malahan Tn SC dalam ucapannya berpuas hati dan memaklumkan bahawa PPM Husel telah mulai aktif dan keluar dari 'kepompong' untuk terus cemerlang dalam tahun-tahun mendatang.

Dalam menguruskan persiapan untuk majlis tersebut, kawan nak ucapkan syabas kepada 'helpers' yang berjaya melaksanakan tugas mereka dengan baik, walaupun mereka masih muda (10 orang PM tingkatan 2) dan mereka juga mendapat pengalaman menyaksikan istiadat penyampaian watikah DC dan ADC, dan juga penyampaian manikayu kepada pemimpin-pemimpin yang telah berjaya menamatkan kursus kepimpinan manikayu mereka. Kawan harap pengalaman ini akan menyuntik semangat mereka dalam berpengakap, dan harapan kawan budak-budak tu akan mencapai tahap Pengakap Raja dalam tempoh empat tahun akan datang. Insyaallah...Sekali Pengakap Terus Berpengakap.

26 April 2009

Aktiviti dan Program

Salam pengakap, Minggu lepas 18 April (Sabtu) sempat buat aktiviti untuk ahli tingkatan 1. Buat aktiviti menghidupkan api dan roti lilit. Seramai 30 orang ahli hadir untuk aktiviti tersebut bermula jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi. Kawan seperti biasa kena jadi 'baby sitter' sebab isteri pergi kuliah, jadi kawan bawa lah dua orang anak perempuan kawan tu, dan dua orang lagi anak lelaki tinggal di rumah. Okay juga lah aktiviti hari itu sebab ahli pengakap tingkatan 2 datang menolong kawan mengajar budak-budak tingkatan 1 tu.

Rabu 22 April, kawan dan En Nasir bawa 10 orang pengakap menyertai lencana berbasikal di Kuala Kubu Bharu. Aktiviti tersebut berjalan seperti yang dirancang, seramai 128 orang ahli pengakap mengikuti program tersebut dengan jayanya. Sebagai anggota PLD Husel, kawan turut merasa gembira kerana kami dapat menyediakan aktiviti yang menyeronokkan untuk ahli-ahli pengakap Husel. Dan, melihat respon daripada guru-guru yang menghantar ahli pengakap ke program tu, mereka mengatakan pengakap husel merupakan unit kokurikulum yang paling aktif sejak tahun lepas. Hmm, memang betul sejak tahun lepas memang pengakap husel banyak mengadakan aktiviti dalam daerah, dan juga program-progran anjuran ibu pejabat, negeri mahupun jemputan daripada ppm daerah-daerah lain.

Dalam minggu tu juga, kawan sempat menguruskan kontinjen husel untuk menyertai perhimpunan 100 tahun PPM di Stadium Negara pada 25 April. Kawan menguruskan pengangkutan, dan juga permohonan lawatan daripada PPD. Kalau difikirkan kerja-kerja tu memanglah remah, tapi 'niat' kawan dan memberi peluang kepada budak-budak tu merasai pengalaman bersama-sama 6 ribu ahli pengakap daripada seluruh negara dalam majlis yang gilang-gemilang tersebut.

Dalam kesibukan tu, minggu lepas kawan ada menerima tawaran menghadiri temuduga biasiswa HLP Kementerian Pendidkan. Semasa sedang sibuk mencari-cari dokumen 'borang pengisytiharan harta', datang budak-budak pengakap yang terlibat dalam aktiviti berbasikal untuk menghantar borang. Mereka pun bertanya,"Cikgu buat apa tu?, Nak buat apa borang tu, Cikgu nak pergi mana?..bla..bla?". Kawan pun layan jawab soalan budak-budak tu satu persatu. Tiba-tiba kawan terdengar satu soalan, "Kalau cikgu dapat biasiswa tu cikgu akan pindah ke? Siapa yang nak jadi guru pengakap kami ?
...bersambung

04 April 2009

Tugas dan tanggungjawab

Salam pengakap...minggu lepas (30hb Mac) kawan telah menghadiri mesyuarat PLD husel di Kuala Kubu Bharu. Mesyuarat tersebut diadakan khas bagi membincangkan dua aktiviti pengakap daerah iaitu; lencana berbasikal dan lencana pengembara. Banyak perkara yang dibincangkan dari aspek pengagehan tugas sehinggalah soal kewangan. Hmm...ni yang payah sikit, sebenarnya memang ppm daerah tidak mempunyai sumber pendapatan selain daripada yuran ahli. Tahun ini, semua pembayaran adalah melalui 'on-line', tak tahu bila wang peruntukan mengikut agehan yang ditetapkan masuk ke akaun ppm daerah. Jadi nampak gayanya kawan dan setuausaha terpaksa buat 'roadshow' nak minta sumbangan daripada individu-individu mahupun syarikat-syarikat tertentu.

Di akhir mensyuarat tu, dalam agenda lain-lain hal, tiba-tiba tuan DC membincangkan isu blog pengakap (kumpulan @ individu) yang tidak dibenarkan penerbitannya. Tuan DC dengan selamba berkata..." sekarang ni Bendahari Kehormat sedang dalam proses dan menaik taraf blog kumpulan 52husel,...menjadi blog ppm daerah". Tambah tuan DC, "lagipun banyak aktiviti daerah tahun lepas yang terpapar dalam blog 52husel...". Pergh...,terkedu seketika kawan mendengar kenyataan tu. Kawan sebenar sayangkan blog 52husel tu, sebab dalam ppm daerah 52husel merupakan kumpulan pertama menerbitkan blog pengakap. Tapi kawan diam je, sebab memikirkan tugas ADC yang sewajarnya membina blog ppm daerah, tak molek rasanya kawan 'overlap' tugas orang lain.

Berbalik kepada tanggungjawab terhadap kemajuan ahli-ahli 52husel, minggu ini (4 hb April) kawan buat 'backwood cooking' sebab sekolah tak ada program pada hari Sabtu. Setiap hari Sabtu yang 'free' program sekolah kawan adakan perjumpaan dan aktiviti pengakap. Kalau mengikut jadual yang ditetapkan untuk pasukan pakaian seragam (Rabu, setiap selang 2 minggu) sudah tentu skema untuk lencana budak-budak tu tak dapat dilengkapkan. Alhamdulillah, semua berjalan seperti yang dirancang, menu masakan hutan; nasi dalam buluh, ikan dan ayam panggang berjaya disiapkan. Dalam aktiviti tu kawan jemput lima orang Pandu Puteri turut supaya mereka dapat menyampaikan pengalaman tersebut dalam pasukan mereka kelak. Memang agak memenatkan, tambahan kawan baru sahaja berhempas-pulas membawa pasukan bolasepak sekolah di MSSD Hulu Selangor (sebagai makluman, kami gagal mempertahankan kejuaraan B18 dan B15 setelah kalah di separuh akhir), tapi atas dasar tugas dan tanggungjawb, ianya tetap dilaksanakan sebaik mungkin...Buat Sehabis Baik.

22 March 2009

Minggu Yang Sibuk....sambungan

Jumaat, selepas solat bergegas ke sekolah untuk sesi pendaftaran perkhemahan integrasi. Alhamdulillah 'helpers' yang ditugaskan menjalankan tugas mereka dengan baik. Pendaftaran perkhemahan dilanjutkan sehingga jam 3.40 petang kerana murid-murid petang masih ada ujian kertas PSV. Jam 4.00 petang taklimat untuk semua peserta yang hadir, semuanya 68 orang (Pengakap+Pandu Puteri), okay jugalah bilangan kehadiran mereka tu. Setengah jam kemudian pengagehan kumpulan dan mendirikan khemah di padang sekolah. Syukur cuaca pada petang itu tidak hujan, kalau hujan sudah tentu padang dipenuhi air. Khemah berjaya didirikan dengan setiap kumpulan dibantu oleh 'helpers' yang bertugas.

Makan malam ditangguhkan selepas Isyak sebab urusan memasak agak lewat dimulakan. Menu malam it
u nasi putih, masak lemak ayam, ikan masin dan sayur kangkung. Selepas makan jam 9.30 malam ceramah berkaitan sejarah Pengakap dan Pandu Puteri, behenti seketika untuk minum malam dan seterusnya aktiviti LDK yang berkisar kepada persetiaan, undang-undang dan rukun negara. Aktiviti berjalan seperti yang dirancang tetapi sengaja dilewatkan waktu tidur sehingga peserta betul-betul mengantuk.

Sabtu pagi, selepas solat subuh, diadakan riadah pagi, selepas itu sarapan pagi dan istiadat pagi. Jam 8.00 pagi sepatutnya aktiviti kembara bermula, tetapi disebabkan hujan, aktiviti tersebut ditangguhkan dan d
iganti dengan aktiviti pertolongan cemas. Selepas minum pagi, aktiviti kembara dimulakan, setiap kumpulan dibantu oleh 'helpers' yang akan memandu mereka sepanjang aktiviti tersebut. Empat stesen saja yang disediakan iaitu, stesen 1- kraftangan, 2-permainan Kim, 3-kompas, dan 4- isyarat sulit dan terakhir halangan merentas belukar.

Petang jam 3.00 aktiviti 'backwood cooking' dijalankan walaupun ketika itu hujan. 'Venue' aktiviti dialih ke bawah tempat letak kereta berbumbung di blok Lekiu. Okay juga aktiviti tu, buat roti lilit dan masak telur dalam kentang saja sebab buat masakan rimba yang asas saja. Daripada reaksi Pandu Puteri mereka nampak seronok maklum lah kali pertama menyertai aktiviti seperti itu walaupun semasa aktiviti tersebut berlangsung hujan lebat dan tiupan angin telah meruntuhkan beberapa buah khemah.

Malam aktiviti kerohanian, penceramah jemputan mengambil tugas kerohani
an bermula solat Maghrib, kuliah, dan solat Isyak. Selepas makan malam, para peserta diajar simpulan dan ikatan, juga simpulan yang asas seperti buku sila, bunga keti, dan simpul manuk. Selepas minum malam, aktiviti ditangguhkan untuk memberi ruang kepada para peserta yang khemahnya basah berpindah tempat penginapan; peserta perempuan ke surau manakala lelaki ke dewan.


Ahad hari terakhir, selepas solat subuh dan senaman pagi, istiadat pagi dijalankan. Kemudian peserta mengemaskan barang masing-masing dan menurunkan khemah yang digunakan. Selepas itu aktiviti gotong royong membersihkan tempat-tempat yang digunakan sepanjang perkhemahan seperti surau, tandas dan bilik persalinan, kawasan dapur, kantin dan dewan. Jam 11.00 pagi majlis penutupan rasmi dijalankan, En Azhar Hassan (PK Kokurikulum) telah sudi hadir mewakili pengetua yang berkursus di IAB.

Selepas tamat majlis penutupan, dan istiadat menurunkan bendera, sesi bergambar dijalankan sebagai dokumentasi dan memoribilia. Bagi kawan, walaupun agak penat meguruskan perkhemahan, rasa puas hati apabila aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan selamat dan mencapai matlamatnya. Terima kasih kepada semua yang terlibat; guru-guru pemimpin Pengakap dan Pandu Puteri, dan yang paling penting 'helpers' yang berjaya melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka.


19 March 2009

Minggu Yang Sibuk...

Salam pengakap...Sudah lama rasanya tak 'update' blog ni, mungkin disebabkan ruang masa yang terhad. Minggu lepas sebelum cuti sekolah tu sibuk sangat dengan persiapan perkhemahan integrasi Pengakap dan Pandu Puteri sekolah, tambahan pula urusan Kursus Ketua Patrol Hulu Selangor, dan tugas-tugas peperiksaan awam yang dipertanggung jawabkan kepada kawan .

Hari Selasa selepas cuti maulidur-rasul tu ada perjumpaan dengan 'helpers' berbincang berkaitan khidmat mereka yang diperlukan dalam perkhemahan nanti. Selain tu, sedikit tugas-tugas berkaitan pengurusan perkhemahan dibuat supaya ianya berjalan lancar. Sebelah petang ada latihan pasukan bolasepak sekolah.

Hari Rabu tu ada taklimat peperiksaan ***, ingatkan taklimat sebelah pagi saja tapi membawa ke petang sebab buat OBK sekali. Fuh, kalut-kalut, cadangan tu waktu tengahari kawan nak pergi beli barang-barang runcit untuk perkhemahan. Hmm..tak sempat beli barang-barang tu, sebab tugas OBK selesai pukul 3.00 petang. Dan, sebelah petang tu ada urusan menghantar budak-budak pengakap (9 PM :5L+4P) mengikuti kursus ketua patrol di SK Seri Keledang, Slim River.

Khamis, ada permintaan untuk kawan pergi beri 'moral support' kepada pasukan olahraga sekolah yang bertanding peringkat daerah di Stadium Proton, Tg Malim. Kawan bercadang nak pergi dalam pukul 10.00 pagi tapi ada kes yang perlu ditangani segera, tak jadi la pergi. Tambahan pula ada taklimat/mesyuarat pelarasan tugas-tugas perkhemahan. Menjelang pukul 2.00 'team' olahraga tu pun dah balik ke sekolah. Esok saja lah pergi tengok budak-budak tu berolahraga, bisik dalam hati. Sebelah petang, dalam pukul 3.00 kerani sekolah telefon, "Cikgu ada faks la untuk cikgu, nanti datang ambil ya.." Kawan pun pergi pejabat dan tengok faks tu, fuh..surat arahan melawat pusat peperiksaan esok jam 8.30 pagi. Macam mana nak pergi tengok budak-budak olahraga tu esok. Petang itu juga kawan ada berjanji dengan beberapa orang budak pengakap untuk masuk belukar belakang sekolah buat denai untuk program kembara dalam perkhemahan tu.

Jumaat, sebelah pagi kawan pergi la melawat pusat peperiksaan, tapi pada masa tu dewan sedang digunakan oleh pihak sekolah untuk sambutan maulidur-rasul. Kawan sekejap saja di situ, selepas berjumpa dengan pengetua kawan terus ke Tg Malim. Mungkin takde rezeki agaknya, semasa kawan sampai pertandingan berhenti rehat tengahari dan solat Jumaat. Kawan minta maaf daripada rakan-rakan guru di situ sebab tak boleh tunggu sampai ke petang, pendaftaran perkhemahan bermula jam 2.45 petang. Berat saja hati nak tinggalkan 'team' olahraga tu sebab mereka sedang bekerja keras bagi mempertahankan kejuaraan tahun lepas. Sebelum beredar kawan sempat juga beri kata dua untuk budak-budak tu supaya teruskan usaha mereka dengan bersungguh-sungguh...
bersambung


16 February 2009

Catatan Pengalaman - Taman Negara

Salam pengakap, dalam minggu lepas sibuk membuat perancangan aktiviti pasukan 52husel dan teringat pengalaman tahun 1992 ketika membawa PKK SK Klang Gate (Kump. Ke-10 Gombak, ketika itu) ke Taman Negara, Pahang.

Perjalanan bermula dari perkarangan sekolah menaiki bas ke Kuala Tembeling. Setibanya di sana kami menuggu bot panjang untuk ke Taman Negara. Turut serta dalam program tersebut seramai 30 orang pengakap kanak-kanak dan 10 orang guru. Apabila bot yang ditempah tiba, kami mula memunggah barang-barang kelengkapan (khemah, peralatan dapur dan bahan mentah makanan) ke dalam bot. Dan, setelah semuanya selesai kami mula bergerak ke Kuala Tahan. Perjalanan ke Taman Negara mengambil masa 3 jam 30 minit menyusuri Sungai Tembeling.

Di Taman Negara kami berkhemah di tapak khemah yang disediakan, sebanyak 12 buah khemah didirikan untuk kegunaan kami sepanjang berada di sana. Selesai mendirikan khemah, hujan turun dengan lebat dan kami hanya duduk di dalam khemah masing-masing dan sesekali terasa aliran air hujan melalui bawah khemah memandangkan kawasan tapak khemah tersebut adalah di lereng bukit. Pada sebelah malam kami mendengar taklimat daripada Perhilitan mengenai flora dan fauna yang berkaitan dengan 'Hutan Tertua Di Dunia' itu.

Awal pagi keesokan hari, kami bertolak ke Lata Berkoh dengan berjalan kaki menyusuri persisiran sungai. Perjalanan mengambil masa yang agak panjang kerana kami perlu melintasi sungai di beberapa tempat, tambahan pula air sungai agak tinggi ketika itu. Sampai di sana kami rehat seketika untuk menyaksikan keindahan alam di situ. Sebelah malam, kami bergerak ke bumbun tahan untuk memerhati haiwan-haiwan liar yang menjilat garam di jenut yang ada di situ.

Pada hari ke-3, selepas bersarapan kami pergi 'treking' ke Bukit Teresek, perjalanan mengambil masa 2 jam untuk tiba di atas bukit tersebut. Di sana kami dapat melihat puncak Gunung Tahan dengan jelas, dan setelah berehat di situ untuk seketika kami mula bergerak ke tapak perkhemahan. Dalam perjalanan kami dapat melihat flora dan fauna yang ada di situ dan juga melihat perkampungan orang asli yang ada di taman negara. Pada sebelah malam semua ahli keletihan dan tidur awal, kami/guru mengambil peluang 'mengeteh' di gerai yang ada di Kuala Tahan.

Pada hari ke-4 kami mula bertolak pulang, melalui sungai dengan menaiki bot. Sepanjang perjalanan semua ahli yang turut serta tidur keletihan dalam bot menuju Kuala Tembeling dan seterusnya menaiki bas pulang ke Klang Gate.

Terima kasih kepada Pemimpin Kumpulan 10 Gombak Tn Kamaruddin Ahmad (Karam) yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu kepengakapan beliau dengan kami semua. "Take Nothing But Photograph, Leave Nothing But Footprints" Insyaalah akan ke Taman Negara semula dengan ahli-ahli 52husel dalam bulan Oktober 2009.

03 February 2009

Aktiviti dan Perjumpaan

Salam, dalam 'posting' kali ini kawan nak berkongsi perkara berkaitan dengan aktiviti dan perjumpaan pasukan PENGAKAP di sekolah. Awal tahun ni, kawan dan buat dua perjumpaan rasmi yang mewajibkan kehadiran pelajar yang telah mendaftar semasa hari pendaftaran unit-unit kokurikulum tempohari. Dalam borang pendaftaran tu senarai ahli-ahli baru termasuk ahli lama yang tak aktif  memang ramai, tapi bila hari aktiviti berlangsung yang meramaikan perjumpaan tu adalah ahli-ahli yang lama (YANG SETIA), kemana pergi (hilang) ahli yang baru dan yang kurang aktif tu. Maklumat tentang perjumpaan yang kawan beri tu dah jelas lagi nyata diumumkan dalam perhimpunan pagi dan diulang suara untuk semua yang ada. Kadang-kadang nak saja kawan gugurkan nama mereka daripada 52husel sebab mereka tak 'komit' dengan pasukan. Tapi kawan terfikir juga, kalau mereka digugurkan daripada 52husel, ke unit mana pulak mereka nak pergi. Kawan rasa beri lagi peluang kepada mereka untuk menghadirkan diri. Kalau boleh kawan nak lah kehadiran mereka penuh, dan mereka boleh bergerak menjalankan aktiviti berPATROL seperti yang kawan rancangkan.

Tapi kawan 'RESPEK' dengan pengakap muda tingkatan 2, sama ada lelaki atau perempuan, setiap kali terjumpa kawan saja, " Cigku Sabtu ni ada perjumpaan ke...?, apa aktiviti kita nak buat...?" tanya mereka. Bukan seorang atau dua, kadangkala dalam sehari tu jenuh kawan nak jawab. Mungkin sebab mereka bersekolah di sesi petang dan jarang dapat jumpa kawan di sebelah pagi, jadi ada saja peluang mereka pun bertanya. Sebenarnya bukan kawan takde perancangan aktiviti, tapi aktiviti kokurikulum secara rasmi akan bermula selepas kejohanan olahraga sekolah 28 Februari. Tapi tak mengapa, kawan akan tampalkan takwim di papan kenyataan 52husel, supaya mereka tahu dan ternanti-nanti hari untuk aktiviti seperti yang dirancangkan. Mmm...masa kawan tulis 'posting' ni pun ada budak yang datang bertanyakan aktiviti hari Sabtu 7 Februari nanti.

Sabtu nanti, akan diadakan aktiviti 'gotong-royong' menceriakan kawasan sekolah kerana tuan pengarah JPS akan turun ke SMKTBR pada 12 Februari untuk berjumpa dengan pengetua dan guru besar sekolah dalam daerah Gombak dan Hulu Selangor (berjumlah seramai 180 orang). Kawan dan ahli 52husel ditugaskan untuk memastikan kawasan di sekitar pintu pagar utama sehingga ke ruang pameran bersih dan ceria, hmm...beres, "KAMI BUAT SEHABIS BAIK". Kawan yakin dengan budak-budak pengakap 52husel yang RAJIN dan 'KOMITED' dengan tugas yang diberikan. Sabtu ini juga kawan nak minta budak-budak tu buat latihan untuk perbarisan hari sukan/kejohanan olahraga sekolah. Selain itu boleh juga kawan tengok-tengok kehadiran ahli-ahli baru dan uruskan hal-hal berkaitan pendaftaran keahlian termasuk borang-borang baru yang diperkenalkan oleh ibu pejabat untuk pendaftaran secara 'on-line'. Okay...jumpa lagi dalam 'posting ' seterusnya. Wassalam..."Once A Scout, Always A Scout".

20 January 2009

Perhimpunan dan Pakaian Seragam

Semalam 19 Januari (Isnin) selesai satu tugas pengurusan pasukan pengakap; Majlis Perhimpunan Rasmi Unit Pakaian Seragam yang pertama di SMKTBR. Terima kasih kepada ahli 52husel yang menjayakan amanat tersebut. Syabas kepada Adib (Ketua Pasukan PM) yang bertindak sebagai komandan yang memberi arahan bagi setiap acara dalam majlis tersebut. Tahniah juga kepada ahli lain yang terlibat, murid-murid daripada unit-unit lain dan juga rakan-rakan guru yang telah memakai uniform mengikut unit masing-masing khas untuk majlis tersebut.

Berkaitan dengan perhimpunan bulanan tu, hari Jumaat minggu lepas sempat buat latihan@raptai ringkas sekali saja sesama ahli-ahli pengakap. Sebelah malam sebelum hari Isnin tu, Adib hantar mesej bertanyakan aturcara majlis yang akan berlansung. Sempat balas mesej ringkas saja, tapi tak puas hati dan 'call' Adib. Dalam perbualan tu buat satu 'vision' tentang perjalanan majlis, dan akhirnya merasa yakin majlis tu akan berjalan lancar seperti yang dirancang.

Pagi Isnin, semua dan sudah sedia di dataran perhimpunan, dan sebelum majlis bermula kawan sempat bagi sedikit taklimat tentang perjalanan majlis kepada semua murid dan guru yang ada di dataran. Kemudian kawan pun serahkan majlis tu kepada Adib untuk menjalankan tugasnya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan penuh istiadat pengakap...tapi semasa pembacaan persetiaan pengakap, semua murid dan guru turut melafazkan persetiaan yang sepatutnya dilafazkan oleh ahli pengakap sahaja. Dalam ucapan pemimpin, kawan beri sedikit komen tentang majlis dan sempat menjelaskan berkaitan dengan pembacaan persetiaan. Kawan sempat berkata," ...hari ini semua warga SMKTBR telah menjadi ahli pemgakap kerana semua yang hadir dalam perhimpunan sudah melafazkan persetiaan pengakap...".Kawan sempat jeling/tengok Tuan DC (PKHEM) senyum saja dengan kata-kata kawan tu, macam tu jugak dengan SU Kehormat (Guru Disiplin).

Selesai majlis tu, badan pengawas mengambil alih untuk majlis perhimpunan seperti biasa, guru bertugas mingguan dalam ucapannya berkata, "...sepanjang 3 tahun saya berada di sekolah ini, hari ini merupakan perhimpunan mingguan yang paling berdisiplin...". Mmm, terima kasih atas pujian tu, ahli 52husel hanya menjalankan amanah dan tugas yang diberikan..."BUAT SEHABIS BAIK". Selepas tu ucapan PK Kokurikulum...mmm sama juga, beliau berharap unit-unit lain akan menjadikan perhimpunan kali ini sebagai contoh untuk perhimpunan bulan depan...Kawan 'cool' saja, kawan tengok budak-budak pengakap yang ada di barisan depan tu nampak 'up' sikit dengan ucapan PK kokurikulum tu, syabas dan tahniah untuk mereka.

Dalam pukul 9.30 pagi, kawan berjumpa dengan Pengetua untuk minta 'permission' untuk hantar isteri kawan ke klinik (suspek denggi@chikungnya...minta Allah jauhkan). Selepas kawan nyatakan hajat kawan tu, pengetua berkata, "...saya ada perkara nak bincang dengan cikgu le.." Mmph...ada apa pulak nih...Kata pengetua lagi, "...saya nampak perhimpunan hari ini okay, boleh tak kalau perhimpunan setiap hari Isnin diuruskan macam pagi tadi". Wah! kalau tiap Isnin kena uruskan perhimpunan macam pagi tadi, berat juga tu. 'Slow and steady' kawan kata, memang elok cadangan tu dan akan bincang dengan PK Kokurikulum ,mungkin boleh buat giliran sesama unit-unit pakaian seragam yang lain.

Selepas tu kawan bergerak ke klinik Serendah, satu famili turut serta sebab susah urusan pergi dan balik sekolah anak-anak. Lama juga di situ, dan ramai juga yang jeling-jeling tengok kawan yang pakai 'full uniform' PENGAKAP, dan ditambah lagi dengan urusan menjaga dan melayan anak-anak sementara isteri kawan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan. Apa-apa pun pandangan mereka kawan tak kisah, bukannya satu kesalahan ..."PROUD to be a SCOUT". Lama juga di klinik tu, sampai jam 12.45 tgh dan keputusan ujian darah 'wife' kawan tu memang ada tanda denggi tapi tidak kritikal. Hari Rabu ni (esok) perlu datang semula untuk membuat ujian darah kali ke-2. Opsss, hari Rabu la pulak,..sudah tentu kawan akan berUNIFORM PENGAKAP lagi, sebab sudah menjadi rutin mingguan di sekolah. Dan, sekai lagi warga Klinik Serendah akan dapat melihat seorang Pemimpin Pengakap Kumpulan 52 Hulu Selangor yang berpakaian lengkap menemankan isterinya untuk mendapat khidmat kesihatan di sana...

16 January 2009

Bermula...satu lembaran baru 2009

Salam pengakap...Agak sudah lama kawan tak 'update' blog ni, bukannya sibuk sangat tapi ruang masa yang tak mengizinkan tambahan pulak 'coverage broadband' yang terlalu rendah di kawasan tempat tinggal kawan. Mmm..minggu kedua persekolahan dah pun berlalu, aktiviti 52husel akan bermula secara rasminya pada 24 Januari. Harap semua ahli 52husel dapat hadir pada hari tersebut kerana urusan-urusan pengagehan patrol dan mesyuarat Majlis Ketua Patrol akan dijalankan.

Pada minggu pertama persekolahan pendaftaran unit-unit kokurikulum telah dibuka, secara umumya ahli-ahli 52husel yang lama secara otomatis menjadi ahli, dan murid-murid tingkatan 1 diberi pilihan untuk memilih unit uniform masing-masing. Tapi untuk murid tingkatan 1 kawan dah maklumkan supaya bekas PKK meneruskan 'kepengakapan' mereka ke PM. Bagi mereka yang ingin memilih unit uniform baru tiada halangan untuk mereka.

Pada hari pendaftaran tu seramai 125 orang murid sesi pagi dan, sejumlah 120 (lama+baru) orang murid sesi petang mendaftar sebagai ahli pengakap. Syabas diucapkan kepada ahli 52husel yang meneruskan kepengakapan mereka, terutamanya PM tigkatan 2. 'Sekali pengakap, terus berpengakap' cogan kata keramat ahli pengakap, harap mereka dapat membantu kawan melatih ahli-ahli yang baru. Sebenarnya kawan sangat yakin dengan komitmen mereka yang memang mudah membantu apabila kawan memerlukan bantuan.

Minggu depan hari Isnin (minggu ke-3 persekolahan), perhimpunan rasmi bulanan unit beruniform akan diadakan buat pertama kalinya di SMKTBR, dan pasukan pengakap telah diberi penghormatan untuk menjadi pasukan pertama menguruskan majlis tersebut dengan istiadat pengakap. Harap semuanya akan dapat dilaksanakan dengan lancar kerana majlis pada hari itu akan dijadikan 'benchmark' bagi perimpunan seterusnya pada bulan-bulan depan. Mmm...'buat sehabis baik', isyaallah segala akan berjalan lancar dengan komitmen yang ditunjukkan oleh budak-budak tu...