18 September 2009

Perkhemahan Kadet Pertahanan Awam (KAPA)

Salam pengakap, salam ramadhan dan salam aidilfitri. Dalam bulan puasa ni aktiviti kepengakapan ditangguhkan dahulu, tapi kawan pesan pada budak-budak ambil masa ni untuk menyemak dan melengkapkan buku log masing-masing; buku log peribadi mahupun buku log lencana (kemajuan & kepandaian). Dalam perancangan PPM daerah akan mengadakan perkhemahan lencana Pengakap Muda pada akhir bulan Oktober ini.

'Post' kali ini kawan nak kongsi pengalaman mengikuti perkhemahan KAPA yang telah berlangsung dalam bulan Jun lepas. Sebenarnya di sekolah kawan tak ada KAPA, tapi disebabkan semua sekolah terlibat sebagai ahli jawatankuasa, kawan dan tiga orang rakan telah diminta untuk membantu sebagai urus setia pertandingan dalam kem itu.

Setelah mendapat bahan-bahan berkaitan pertandingan yang akan dijalankan melalui internet, kawan dan rakan-rakan bergerak ke tapak kem, dan dalam taklimat oleh pengerusi pengelola pada malam tu nampak gayanya segalanya telah diaturkan oleh jurulatih-jurulatih JPA. Kawan tak menjadi masalah dalam perkara tu, mana yang baik dan mudah jalan saja. Lagipun mereka lebih tahu tentang peraturan-peraturan pertandingan yang bakal dijalankan, kami jadi pemerhati sahaja dalam kem tersebut.

Banyak juga ilmu yang kawan dapat (walaupun jadi pemerhati saja), dan pada pendapat kawan aktiviti yang dijalankan tidak jauh berbeza dengan aktiviti kepengakapan. Aktiviti KAPA lebih berfokus kepada aktiviti menyelamat, melawan kebakaran, melepasi halangan dan bantu mula. Aktiviti-aktiviti tersebut semuanya ada dalam kemahiran pengakap mungkin istilah yang digunakan berbeza-beza.

Sepanjang perkhemahan tu berlangsung, sempat juga kawan dan rakan-rakan pergi memancing di sungai yang ada di situ. Okay juga lah, ambil peluang untuk menikmati kehijauan hutan dan kedinginan air sungai tu (air sungai memang jernih, sebab belum tercemar). Dapat le dua ekor ikan tengas, seekor kami beri pada anak orang asli yang berkelah di situ dan seekor lagi rakan bawa balik. Walaupun kawan tak terlibat dengan perkhemahan tu sepenuhnya, kawan tetap 'enjoy' dan dapat pengalaman yang sangat berguna.