29 December 2008

Tugasan Pemimpin 52husel

Salam pengakap...
Berjumpa lagi setelah agak lama blog ini tidak di'update'kan. 22 Disember lepas, sekolah kawan telah mengadakan mesyuarat pengurusan tahun 2009 untuk kali pertama. Dalam mesyuarat tersebut ada disertakan buku pengurusan yang dibahagikan kepada 3 unit iaitu kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum. Sebaik saja buku pengurusan tu diterima, kawan pun membukanya dari satu mukasurat ke mukasurat yang lain, dan tiba saja untuk pengurusan unit pakaian seragam...alangkah terKEZUTnya kawan apabila nama untuk ketua/pemimpin pasukan pengakap telah tertulis nama guru lain...bukan lagi atas nama kawan.

Hmm...apa dah jadi, pelbagai persoalan timbul dalam minda kawan, adakah selama ini kawan tidak menguruskan pasukan dengan baik, tapi...pasukan pengakap telah dipilih sebagai pasukan unit beruniform CEMERLANG tahun 2008. Tak sabar rasanya untuk menunggu taklimat khas daripada PK Kokurikulum pada keesokan hari. Tapi kawan ambil langkah PROAKTIF, sewaktu rehat kawan sempat berbincang dengan beliau dan baru kawan dapat tahu mengapa nama kawan diGUGURkan dari memimpin pasukan pengakap untuk tahun 2009.

Menurut PK Kokurikulum, atas permintaan pengetua, kawan diminta untuk menghadkan penglibatan kawan dalam aktiviti-aktiviti diluar sekolah memandangkan kawan telah pun dilantik sebagai GC. Dan, berdasarkan rekod tahun 2008, kawan banyak terlibat dalam aktiviti diluar sekolah sama ada peringkat daerah, negeri, mahu pun peringkat kebangsaan. Hmm...kawan boleh terima 'reason' tu, memang betul kawan terlibat dalam banyak aktiviti tersebut...tapi penglibatan kawan adalah atas tugas rasmi sebagai seorang guru dan mendapat kelulusan daripada PPD dan kebenaran pentadbiran sekolah dengan surat rasmi lagi.

Dalam perbincangan dengan PK Kokurikulam lagi, kawan memberikan rasional KEPERLUAN kawan untuk bertindak sebagai pemimpin pasukan pengakap; 1) kawan bertindak sebagai Bendahari Kehormat Daerah, dan sekiranya ada aktiviti daerah sudah tentu kawan akan turut serta, dan jika memerlukan penglibatan murid tidak menjadi masalah untuk kawan membawa mereka bersama. 2) perancangan untuk aktiviti tahun 2009 telah pun dirangka dan ianya merupakan lanjutan aktiviti tahun 2008, adalah lebih mudah sekiranya kawan yang melaksanakannya. 3) budak-budak pengakap tu pun dah rapat dengan kawan dan mudah untuk pengurusan aktiviti. Keputusan daripada perbincangan tersebut...beliau akan mengusulkan perkara ini kepada pengetua untuk disemak semula, jadi kena tunggu esok juga.Tungguuu...

23 Disember, dalam mesyuarat pengurusan kokurikulum PK Kokurikulum memaklumkan ada perubahan dalam agehan tugas pasukan pengakap, dengan izin pengetua nama kawan dilantik semula sebagai pemimpin pasukan. Hmm...okay lah tu, terima kasih kepada PK Kokurikulum yang telah menerima PERMINTAAN kawan. Dan, timbul satu lagi permintaan oleh guru kelab bolasepak untuk MELAMAR kawan meneruskan tugas sebagai jurulatih pasukan bolasepak memandangkan pasukan sekolah merupakan JUARA BERTAHAN untuk B15 dan B18 tahun 2008. Hmm...kawan diam saja dan biarlah keputusan dibuat oleh pengetua dan pentadbir sekolah.

Berbalik kepada pengurusan pasukan pengakap 52husel, berdasarkan perancangan pentadbiran sekolah pada tahun 2009 aktiviti unit beruniform dijalankan pada hari Rabu mengikut sesi pagi dan petang. Agak payah juga kerana tempoh masa yang agak terhad. Namun begitu kelonggaran diberi untuk menjalankan aktiviti pada hari Sabtu terutama dalam aktiviti yang memerlukan masa yang panjang.

Daripada buku pengurusan itu juga, kawan lihat senarai penolong pemimpin masih nama yan sama dan kawan sangat berterima kasih atas kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan untuk membantu kawan mengurus dan mentadbir pasukan pengakap dalam tahun 2008. Kawan berharap semoga 'TEAMWORK' yang sedia ada ini dapat diteruskan bagi melatih dan MEMIMPIN ahli-ahli pengakap 52husel menjadi warganegara yang berketrampilan yang akan menjadi pemimpin pada masa depan. Salam...Once A Scout, Always A Scout.

08 December 2008

Tukar @ Tak ....

Baru-baru ini, selepas tugasan pengawasan SPM tamat, kawan ada berkunjung ke pejabat sekolah kerana ada urusan 'klaim' SPM dan aktiviti selepas PMR tempohari. Kebetulan pada masa itu pengetua ada di pejabat, lagi pun memang kawan perlukan tandatangan pengetua dalam borang tu. Dalam perbualan dengan pengetua tu, ada berbincang tentang aktiviti bimbingan dan kaunseling terutamanya program-program untuk budak-budak 'high risk'. Pn Pengetua minta program untuk budak-budak tu di awalkan. Mmm...okay juga, kawan tak ada masalah tentang perkara tu, ikut saja apa yang pentadbiran sekolah mahukan.

Tapi, tiba-tiba ada satu perkara yang penting keluar daripada mulut pengetua, kata beliau...."sekarang di sekolah dah ada dua orang guru kaunseling cemerlang, saya ada berbincang dengan pegawai PPD, kemungkinan salah seorang akan bertukar ke sekolah lain. Lagi pun sekolah baru tu tidak le jauh sangat...". Pergh....berombak dada kawan dengan berita tu, sebab salah seorang yang terlibat tu adalah diri kawan sendiri. Dalam minda kawan secara spontan terfikir, kalau kawan lah guru yang perlu ditukarkan tu, apa jadi dengan pasukan pengakap (52husel), kawan baru je 'setup' pasukan pengakap tahun ini (2008, sehingga mencapai anugerah pasukan beruniform cemerlang) dan banyak program yang ada dalam minda pemikiran kawan yang akan dilaksanakan untuk tahun hadapan.

Walaupun begitu, kawan sempat juga berkata, "...saya tak kisah kalau perlu bertukar ke sekolah baru dan akur dengan arahan pentadbir sekolah" (Sebenarnya tak mau le tukar...) Kawan katakan lagi kawan 'sayangkan' pasukan pengakap yang kawan jaga tahun ini, jadi kalau kawan bertukar siapa pulak yang 'incharge', sebab kawan tak mahu la pasukan pengakap sekolah jadi malap semula seperti tahun-tahun sebelumnya. Berbalik kepada perbincangan dengan pengetua tadi, ..."Tapi cikgu diperlukan untuk membantu guru disiplin mengawal budak-budak sekolah sesi pagi" kata Pn Pengetua lagi. Fuhh...lega rasanya. 

Berdasarkan kata-kata pengetua tu, bukan lah kawan guru yang akan ditukarkan tu. Dalam hati kawan elok lah, boleh lah kawan meneruskan aktiviti 'kepengakapan' 52husel, dan kawan memang merancang untuk melaksanakan latihan dan aktiviti pengakap yang lebih baik dan tersusun pada tahun 2009. Walaubagaimanapun awal tahun depan tahu lah keputusan yang sebenarnya, bagi kawan di mana pun juga bertugas....."Sekali pengakap terus berpengakap".

01 December 2008

15th Goodwill Camporee Thailand

Baru-baru ni kawan terima satu sms yang di'foward'kan oleh SU Kehormat berkaitan tawaran untuk menyertai kempori muhibah di negara jiran, Thailand. Semasa mesej itu diterima, kawan sedang bertugas mengawasi peperiksaan SPM. Mmm...rasa macam nak pergi (sebab tak puas pergi JAJ2008 hari tu), tapi apabila difikirkan dua, tiga kali, akhirnya 'decide' tak jadi pergi atas sebab beberapa faktor;

1) Tempoh masa untuk 'confirm'kan penyertaan suntuk sangat (sehari saja)...susah la jadinya sebab buat masa ini 'wife' kawan sedang sambung belajar, jadi semasa dia kuliah kawan akan jadi 'baby sitter'. Setiap aktiviti/pergerakan perlu dirancang sebaik mungkin supaya anak-anak kawan tu terurus.

2) Situasi tegang di ibu negara jiran yang tidak menentu, macam-macam boleh jadi, bimbang kalau berlaku sesuatu yang tak diingini...susah jadinya, dan yang ke ...

3) 'Budget'/duit/wang/fulus yang tidak mengizinkan, sebab banyak nak pakai hujung-hujung tahun ni (perbelanjaan sekolah anak-anak), memang la bonus ada...tapi langkah berjimat cermat untuk menghadapi tahun 2009 yang ramai mengatakan ekonomi dunia akan meleset/merudum. Jadi keputusan sebulat suara (dengan DC dan SU husel) tak pergi, mungkin@harap dapat 'save' RM secara berdikit-dikit untuk sertai Jamboree Asia Pasifik di Filipina tahun depan. Itu pun kalau dapat 'offer' untuk menyertai kontinjen,...harap dapat la sebab kawan teringin benar nak ikuti jambori di luar negara...boleh kut.

" Sekali pengakap, terus berpengakap "

21 November 2008

Pulang dari Jambori Antarabangsa Johor

Selesai sudah Jambori Antarabangsa Johor 2008 di Tg Labuh, Batu Pahat, Johor. Pada 20 November jam 5.30 petang kawan pergi mengambil budak-budak (5 orang) di tempat mereka diturunkan dari bas di Sg Choh. Setibanya kawan di situ, mereka sudahpun menunggu di hentian bas. Dalam keadaan hujan rintik-rintik dari jauh kelihatan mereka melambai-lambaikan tangan ke arah kawan. Sebaik sahaja kereta di'park', mereka terus membuka 'boot' dan memasukkan barang-barang masing-masing (beg, baldi, tongkat, periuk dan sebagainya). Sempat juga mereka bersalam-salaman dengan rakan-rakan satu kontinjen dari sekolah lain. Setelah semua mereka masuk, dan pintu kereta ditutup, mmm...satu bau yang kurang enak dikesan oleh deria bau, disebabkan di luar sedang hujan jadi tingkap kereta tidak dibuka. Sepanjang jalan bau-bauan itu berterusan, menurut mereka pagi tadi mereka tak sempat mandi (sama ada tak ada air di kem atau tak berkesempatan mandi kawan tak pasti...).Tidak mengapalah asalkan mereka semua sihat dan selamat pulang.

Dalam perjalanan pulang ke sekolah, macam-macam yang mereka ceritakan tentang pengalaman di JAJ2008, cerita tentang aktiviti kepengakapan, tentang khemah patah, hujan lebat dikem, nampak benda-benda tertentu (misteri), jadi pembantu masakan dan lain-lain lagi. Selain bercerita, mereka juga menunjukkan lencana-lencana yang diperolehi, sama ada yang ditukar-tukar atau yang dibeli. Menurut budak-budak tu lagi, lencana kontinjen Selangor yang paling popular sehinggakan ada yang sanggup menawarkan 12 pelbagai koleksi lencana untuk 1 lencana kontinjen Selangor. Selain itu mereka juga sempat berkenalan dan bertukar-tukar nombor telefon dan emel dengan rakan-rakan baru sama ada dari dalam dan juga luar negara.

Sampai sahaja diperkarangan sekolah, mereka terus menelefon ibu bapa masing-masing untuk menjemput mereka pulang. Sementara menanti ibu bapa mereka sampai, sempat lagi bergambar 'full uniform' dengan aksesori perkhemahan seperti skaf, nametag, lencana-lencana perkhemahan dan tongkat masing-masing. Di samping itu cerita-cerita mengimbau pengalaman berjambori masih berterusan. Mereka mula beredar secara beransur-ansur apabila ibu bapa masing-masing tiba untuk menjemput mereka. Setelah mereka semua pulang, tinggallah kawan berseorangan duduk di'bus lay' untuk seketika. Dalam keseorangan itu, kawan terfikir betapa seronok dan beruntungnya mereka dapat menyertai JAJ2008. Kawan pulak...hanya tumpang gembira apabila melihatkan keseronokan yang terbayang pada muka budak-budak tu....

18 November 2008

Seketika di Jambori Antarabangsa Johor (JAJ) 2008

Dalam kesibukan menguruskan tugas pengawasan SPM dan keluarga, kawan berkesempatan menjenguk anak-anak buah (kontinjen husel) yang menyertai JAJ2008. Bertolak dari KL jam 11 malam bersama tuan DC dan SU Kehormat, bergerak menuju ke selatan melalui lebuhraya KL-Seremban. Jam 2 pagi singgah di R&R Seremban untuk meredakan mata yang mula mengantuk. Setelah segelas nescafe tarik disantap, dan melepaskan ketagihan, mula bergerak menuju Pontian (kampungg SU Kehormat) dan tiba di Pontian jam 5.30 pagi. Sempat minum di restoran mamak tepi laut dengan menu sarapan subuh: capati dan teh tarik, dan selepas itu bertolak semula ke kampung SU di Pekan Nanas. Selesai solat subuh, melelapkan mata untuk seketika dan bertolak ke Tg Labuh, Batu Pahat jam 10 pagi daripada rumah ibubapa SU.

Tiba di Kem Jubli Intan jam 12.30 tengahari, kami dihalakan ke tempat letak kereta berhampiran lapangan terbang kerana jalan masuk telah ditutup untuk orang ramai.Dan, perlu meredah semak-samun (jalan pintas) untuk sampai ke tapak kem. Oleh kerana kali pertama menjejak kaki di Kem Jubli Intan mengambil sedikit masa untuk mencari sub-kem yang menempatkan kontinjen negeri Selangor. Dari jauh ternampak bendera Selangor yang gah berkibar di atas bukit sub-kem Endau Rompin. Melintasi padang kawad dalam cuaca panas terik, kelihatan tersergam indah menara JAJ setinggi bangunan 4 tingkat. Kelihatan juga khemah-khemah diraja dan tetamu kehormat dihias rapi, dan pihak urus setia yang sedang sibuk membuat persiapan terakhir untuk majlis pearasmian pembukaan yang dihadiri oleh TMJ  Tengku Ibrahim Ismail. Setelah menjejaki beberapa anak-anak tangga, sampai di atas bukit dapat dilihat beberapa kontinjen daerah negeri Johor dan beberapa kontinjen kecil dari Indonesia (Sumatera dan Kalimantan Barat) berkongsi bukit tersebut bersama kontinjen negeri Selangor. Masing-masing sedang sibuk menghias tapak kehmah.

Tiba di khemah negeri Selangor, urus setia pameran sedang sibuk membuat persediaan bahan-bahan visual yang akan dipamerkan di khemah kontinjen Selangor. Sempat berbual dengan SC dan ASC tentang kontinjen dan perkhemahan, dan seterusnya melawat tapak khemah kontinjen Selangor yang ketika itu sedang menikmati santapan tengahari. Sempat beramah-mesra dengan beberapa orang rakan-rakan pemimpin, kami dipelawa untuk merasai nasi dan lauk perkhemahan di dapur kontinjen Selangor. Rezeki jangan ditolak...terima kasih kepada urus setia masakan yang di ketuai Pn Norsham (DC Tg Karang) atas pelawaan dan menu tengahri yang menyelerakan (nasi putih+ayam masak tomato+sayur campur+sirap). Selesai santap tengahari, bergerak ke khemah untuk bertanya khabar anak-anak buah (52husel) dan kami sempat merakamkan gambar kenangan dengan kontinjen Kalimantan Barat (Kalbar) yang berada bersebelahan dengan kem kontinjen Selangor. Daripada air muka anak-anak buah tu, nampak mereka gembira berada di JAJ, cuma kedengaran sedikit kes-kes seperti serangan ulat bulu, ditimpa dahan pokok, dan kesukaran untuk mendapat bekalan air untuk mandi, yang lain semua okay.

Dalam pada masa yang sama, sempat berjumpa rakan-rakan lama seperguruan di MPSAH (Zulkifli dan Nordin) yang sememangnya aktif dalam pengakap sejak dahulu lagi. Dalam tempoh masa yang singkat, bergerak menuju sub-sub kem yang lain di kaki bukit, tapi tidak berkesempatan untuk bertanya khabar kerana setiap kontinjen sedang bergerak ke lapang kawad untuk majlis perasmian. Kami hanya sekadar melalui tapak-tapak khemah mereka dan merakam gambar-gambar mana yang sempat sahaja (rasa terkilan sebab tak berpeluang berjumpa 'admin-admin' blog pengakap daripada negeri-negeri lain). Rasa terkilan bercampur sedikit kecewa kerana masa yang begitu singkat berada di Kem Jubli Intan, Tg Labuh. Kalau diikutkan hati, ingin rasanya tinggal untuk semalam lagi bagi merasai kemeriahan jambori dan menyaksikan anak-anak buah mengikuti aktiviti kemahiran pengakap yang disediakan. Tapi, ada tugas penting yang perlu dilaksanakan keesokan hari. Kepada kontinjen Selangor diucapkan syabas, dan buktikan kemampuan dengan kemahiran-kemahiran pengakap yang tinggi, selaras dengan kekuatan anggota sebagai 'kontinjen terbesar' menyertai JAJ2008...Selamat berjambori...



15 November 2008

Perjumpaan dengan SC

Ahad (9 November), kawan telah menghadiri satu majlis perjumpaan SC dengan semua DC dan ADC. Sebenarnya tidak terlibat pun dengan majlis tu, sebab kawan hanya LA (epolet hijau) sahaja, tapi atas dasar memberi sokongan kepada rakan-rakan ADC Hulu Selangor, kawan pun turut serta dengan rakan karib Setiausaha Kehormat (epolet hijau juga...) untuk memeriahkan majlis memandangkan DC tak dapat hadir kerana mengikuti kursus PTK. Mulanya rasa janggal juga, sebab hanya kami berdua (epolet hijau...LA) yang datang, lain-lain semuanya DC dan ADC daerah masing-masing. Syabas kepada rakan-rakan yang menerima watikah pelantikan DC dan ADC untuk tempoh 2 tahun (2008 - 2009), semoga dapat menjalankan tugas dan tangungjawab yang diamanahkan. Sesekali terlintas di fikiran, okay juga kalau jadi ADC berbanding LA, dapat penghormatan dalam majlis besar, dan ada watikah pelantikan lagi berbanding LA yang hanya dilantik melalui mesyuarat agung. Tapi tidak mengapa, tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan Bendahari Kehormat tetap akan dilaksanakan (tapi..rasa dah lama sangat pegang jawatan tu, DC pun dah bertukar ganti..) Dalam majlis itu juga, penyampaian bendera telah disampaikan kepada kontinjen negeri Selangor. Syabas, kepada rakan-rakan yang telah diamanahkan menjaga kontinjen negeri, tolong tengok-tengokkan budak-budak kawan tu (52husel) dan juga anak-anak buah kawan daripada PPM Hulu Selangor. Sekali pengakap, terus berpengakap...

03 November 2008

Kerja...kerja...kerja

Minggu lepas merupakan minggu yang paling sibuk dalam tahun 2008. Apa tidaknya, dalam minggu tu hanya ada dua hari persekolahan kerana sekolah mengambil cuti sempena Deepavali sehingga Rabu. Hari Khamis (30 Oktober) terlibat dengan taklimat pengawasan SPM, dan esoknya terlibat dengan PSKPP. Maknanya seminggu tak pergi sekolah, minggu ni nampaknya sibuk juga sebab nak uruskan budak-budak pengakap ambil kertas peperiksaan akhir tahun yang tertunda(sebab tarikh serentak dengan kempori). Dalam pada masa yang sama juga ada tugas menguruskan program-program selepas PMR budak-budak tingkatan 3. Minggu depan cadangan tu nak buat penyampaian lencana kemajuan budak-budak pengakap yang layak naik lencana. Mmm...khemah dan alat-alat perkhemahan hari tu pun belum 'setel' lagi, jadi miggu ni pun sibuk juga nampaknya, macam dialog cerita Labu-Labi...sebelum tutup mata kerja, kerja,kerja...Tak mengapalah sudah menjadi tugas dan tanggungjawab. Mungkin hari Selasa ni, perlu ke PPD Hulu Selangor sebab urusan surat menyurat dan kewangan kontinjen daerah yang akan menyertai Jambori Antarabangsa Johor 2008 (JAJ). Dalam minggu ini juga ada taklimat pengawasan SPM, ada kem RIMUP dan macam-macam lagi. Sesekali terfikir juga, orang lain sibuk macam ni juga ke...sibuknya mengalahkan YB wakil rakyat. Tapi apa pun juga...amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan.

26 October 2008

Pengurusan Pasukan Menyertai Kempori Hulu Selangor

Petang Isnin (20 Oktober), sepatutnya ada 'friendly game' bolasepak, tapi tak dapat pergi kerana kesibukan menguruskan persiapan pasukan untuk menyertai kempori. Dengan bantuan beberapa orang ahli pengakap, kerja-kerja memeriksa khemah dan peralatan yang akan dibawa dijalankan. Hingga lewat petang baru tugas dapat disiapkan; 10 set khemah yang lengakap dan 4 set dapur gas 'portable', pisau, alas pemotong, senduk,dan bahan-bahan mentah seperti sardin, telur, dan beras telah siap sedia untuk digunakan.
Pagi Selasa (21 Oktober), setelah selesai menyemak kehadiran peserta, setiap kumpulan mula mengambil perlatan yang perlu mereka bawa ( 2 khemah dan 1 dapur) mula bergerak ke bas yang disediakan. Sampai di Rock Eco Resort, mula mendaftar dan mengikuti program perkhemahan seperti yang dirancangkan. Tetapi menjelang petang, disebabkan terlalu seronok menyertai aktiviti perkhemahan, mereka terlupa arahan yang diberikan oleh sifu. Mereka gagal menyediakan minum petang dan memasak makan malam. Menyedari situasi yang berlaku, ketua pasukan diarah mengumpulkan semua ahli kumpulan 52 untuk membincangkan perkara tersebut, dan keputusannya mereka perlu memasak makan malam setelah semua aktiviti pada malam tersebut selesai. (Perkara yang penting dalam situasi ini bukannya aktiviti memasak tersebut tetapi adalah mematuhi arahan yang diberikan oleh pemimpin).
Hari seterusnya (22 Oktober), aktiviti perkhemahan berjalan lancar, sebelah pagi aktiviti kembara dan 'treking' dijalankan, setelah sampai semula di tapak perkhemahan, makan tengah hari dan urus diri. Pada sebelah petang hujan turun dengan lebat, jadual program terpaksa diubah mengikut kesesuaian cuaca. Alhamdulillah menjelang senja hujan semakain reda, dan aktiviti malam kebudayaan dapat dijalankan dengan lancar. Malam menjelang pagi sibuk membantu seketeriat menguruskan sijil-sijil peserta sehingga jam 3.30 pagi.
Hari ketiga (23 Oktober), seawal jam 5.30 pagi bertolak pulang untuk tugasan peperiksaan SPM, dan rasa ralat tidak dapat menyertai majlis penutupan rasmi. Setelah tugasan selesai, bertolak semula ke Rock Eco Resort, dan sampai setelah majlis penutupan tamat. Sempat makan tengah hari, dan selepas itu menguruskan perjalanan pulang pasukan. Alhamdulillah semua berjalan lancar, semua ahli masih sihat, segala peralatan dan khemah ada dan pasukan bertolak pulang ke sekolah dengan selamat. Petang tu, ada 'friendly game' bolasepak lagi, pergi juga lah dengan Tuan DC ke Hulu Bernam. Rasa letih yang amat sangat sebab tak cukup tidur,  keputusannya perlawanan kami telah memenangkan pihak lawan 3 - 2.

20 October 2008

Pengurusan Aktiviti Latihan Memasak

Hmm...cerita pengalaman berpengakap, tangguh dulu. Nak kongsi pengalaman menguruskan budak pengakap yang nak pergi kempori. Disebabkan terlibat dengan pengawasan peperiksaan PMR, pengurusan budak-budak pengakap tu agak longgar sedikit sebab waktu dan masa untuk berjumpa dengan mereka terhad.  Petang Rabu (15 oktober) minta 'excuse' daripada ketua pengawas untuk berjumpa dengan pasukan pengakap, pada masa yang sama petang tu ada 'friendly game' bolasepak veteran di Slim River. Alhamdulillah...perjumpaan petang tu berjalan dengan lancar: pengagehan kumpulan dan penyampaian bantuan uniform pengakap dapat dilaksanakan. Petang tu juga dapat pergi 'friendly game' dengan Che Din (DC Hulu Selangor). Keputusan perlawanan, kami telah berjaya memenangkan pihak lawan 1-0, kalau main kira kena tiang dah tentu kami menang. 
Balik cerita tentang pengakap, petang Jumaat (17 oktober)  tu ada 'test' memasak bagi budak-budak yang nak pergi kempori. Selepas solat Jumaat bergegas ke Tesco membeli barangan keperluan (asalnya nak uruskan petang Khamis, tapi petang tu sibuk uruskan tempahan sijil kempori). Dalam perjalanan balik dari Tesco, hujan lebat sepanjang jalan. Pekan Rawang dinaiki air...mmm redah ajelah sebab sudah berjanji dengan budak-budak pengakap tu. Sampai di Bukit Sentosa, dia orang dah telefon, dah ramai tunggu di sekolah.Sampai di sekolah hujan semakin lebat terpaksa ubah 'venue' aktiviti ke kantin, rancangan nak masak nasi dalam buluh 'postpone' dulu. Selepas bagi taklimat, aktiviti memasak pun bermula, macam-macam cara memasak yang dapat dilihat, budak perempuan okay, tapi budak lelaki...ancuss (teringat masa jadi ahli PKK di sekolah rendah dulu).
Selepas setengah jam, alhamdulillah... selesai juga masak nasi, sardin dan telur dadar. Selepas memasak, apa lagi dia orang pun makan hidangan yang telah dimasak tu. Ada juga kumpulan yang mengkatakan lauk terlebih garam/masin, tapi dia orang bedal semacam je...cekik aje lah (macam cerita bujang lapuk tu). Habis makan dan mengemas, aktiviti rumusan dijalankan. Semasa rumusan, apa lagi kena 'lecture' dengan sifu...(takpe untuk kebaikan) dia orang pun faham sebab dah biasa. Pengalaman memasak petang tu dapat dijadikan panduan @ latihan sebagai persiapan kempori. ...selamat berkempori, buat sehabis baik...nanti ada 'chance' naik lencana kemajuan (dengan syarat buku log 'up to date')...sekali pengakap, terus berpengakap.  

16 October 2008

Pengalaman Sebagai Pengakap Kanak-Kanak

Pengalaman sebagai PKK bermula ketika berada dalam darjah 4 di SK Kuala Ampang 2 (dahulunya SRK) di daerah Gombak. Pada ketika itu aktiviti dijalankan adalah aktiviti yang ringan sebagai memenuhi aktiviti kokurikulum sahaja. Setakat yang saya ingat, tidak pernah mengikuti perkhemahan pun, tetapi aktiviti-aktiviti kemahiran seperti simpulan dan ikatan, menyediakan hidangan, kembara dan sebagainya ada dijalankan. Masih dalam ingatan ketika menjalankan aktiviti kembara dan membaca kompas, kami sesat di Ukay Height kerana pembantu guru pengakap (tukang kebun) telah terasasar dari haluan yang ditetapkan, kami terus menuju tempat berkumpul semula. Tak banyak pengalaman yang menarik daripada aktiviti tersebut pada ketika itu. Pertandingan memasak juga sesuatu yang menyeronokkan, sebagai kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun tak banyak yang diketahui tentang memasak, tapi hentam ajelah asalkan dapat menyediakan hidangan yang ditetapkan oleh guru pengkap. Menu yang biasa tentulah bihun goreng kosong dan telur goreng. Walaupun tidak banyak kemahiran yang diperolehi semasa menjadi pengakap kanak-kanak (darjah 4 hingga darjah 6), saya tetap berterima kasih kepada guru pengakap (kalau tak salah Mr George namanya) kerana telah memberikan pengalaman awal mengenai aktiviti kepengakapan dalam hidup saya...thank you sir.

07 October 2008

Test...@ Satu Permulaan

Pada hari ini, 7 Oktober 2008 bermulalah blog sifu52husel diaktifkan sebagai satu wadah untuk berkongsi pengalaman tentang dunia pengakap sebagai seorang ahli dan kini pemimpin pasukan pengakap. Hmm...di mana nak dimulakan cerita ni? Elok rasanya dimulakan dengan sejarah atau pengalaman mula-mula terlibat dengan aktiviti kepengakapan...