21 November 2008

Pulang dari Jambori Antarabangsa Johor

Selesai sudah Jambori Antarabangsa Johor 2008 di Tg Labuh, Batu Pahat, Johor. Pada 20 November jam 5.30 petang kawan pergi mengambil budak-budak (5 orang) di tempat mereka diturunkan dari bas di Sg Choh. Setibanya kawan di situ, mereka sudahpun menunggu di hentian bas. Dalam keadaan hujan rintik-rintik dari jauh kelihatan mereka melambai-lambaikan tangan ke arah kawan. Sebaik sahaja kereta di'park', mereka terus membuka 'boot' dan memasukkan barang-barang masing-masing (beg, baldi, tongkat, periuk dan sebagainya). Sempat juga mereka bersalam-salaman dengan rakan-rakan satu kontinjen dari sekolah lain. Setelah semua mereka masuk, dan pintu kereta ditutup, mmm...satu bau yang kurang enak dikesan oleh deria bau, disebabkan di luar sedang hujan jadi tingkap kereta tidak dibuka. Sepanjang jalan bau-bauan itu berterusan, menurut mereka pagi tadi mereka tak sempat mandi (sama ada tak ada air di kem atau tak berkesempatan mandi kawan tak pasti...).Tidak mengapalah asalkan mereka semua sihat dan selamat pulang.

Dalam perjalanan pulang ke sekolah, macam-macam yang mereka ceritakan tentang pengalaman di JAJ2008, cerita tentang aktiviti kepengakapan, tentang khemah patah, hujan lebat dikem, nampak benda-benda tertentu (misteri), jadi pembantu masakan dan lain-lain lagi. Selain bercerita, mereka juga menunjukkan lencana-lencana yang diperolehi, sama ada yang ditukar-tukar atau yang dibeli. Menurut budak-budak tu lagi, lencana kontinjen Selangor yang paling popular sehinggakan ada yang sanggup menawarkan 12 pelbagai koleksi lencana untuk 1 lencana kontinjen Selangor. Selain itu mereka juga sempat berkenalan dan bertukar-tukar nombor telefon dan emel dengan rakan-rakan baru sama ada dari dalam dan juga luar negara.

Sampai sahaja diperkarangan sekolah, mereka terus menelefon ibu bapa masing-masing untuk menjemput mereka pulang. Sementara menanti ibu bapa mereka sampai, sempat lagi bergambar 'full uniform' dengan aksesori perkhemahan seperti skaf, nametag, lencana-lencana perkhemahan dan tongkat masing-masing. Di samping itu cerita-cerita mengimbau pengalaman berjambori masih berterusan. Mereka mula beredar secara beransur-ansur apabila ibu bapa masing-masing tiba untuk menjemput mereka. Setelah mereka semua pulang, tinggallah kawan berseorangan duduk di'bus lay' untuk seketika. Dalam keseorangan itu, kawan terfikir betapa seronok dan beruntungnya mereka dapat menyertai JAJ2008. Kawan pulak...hanya tumpang gembira apabila melihatkan keseronokan yang terbayang pada muka budak-budak tu....

No comments: