18 November 2008

Seketika di Jambori Antarabangsa Johor (JAJ) 2008

Dalam kesibukan menguruskan tugas pengawasan SPM dan keluarga, kawan berkesempatan menjenguk anak-anak buah (kontinjen husel) yang menyertai JAJ2008. Bertolak dari KL jam 11 malam bersama tuan DC dan SU Kehormat, bergerak menuju ke selatan melalui lebuhraya KL-Seremban. Jam 2 pagi singgah di R&R Seremban untuk meredakan mata yang mula mengantuk. Setelah segelas nescafe tarik disantap, dan melepaskan ketagihan, mula bergerak menuju Pontian (kampungg SU Kehormat) dan tiba di Pontian jam 5.30 pagi. Sempat minum di restoran mamak tepi laut dengan menu sarapan subuh: capati dan teh tarik, dan selepas itu bertolak semula ke kampung SU di Pekan Nanas. Selesai solat subuh, melelapkan mata untuk seketika dan bertolak ke Tg Labuh, Batu Pahat jam 10 pagi daripada rumah ibubapa SU.

Tiba di Kem Jubli Intan jam 12.30 tengahari, kami dihalakan ke tempat letak kereta berhampiran lapangan terbang kerana jalan masuk telah ditutup untuk orang ramai.Dan, perlu meredah semak-samun (jalan pintas) untuk sampai ke tapak kem. Oleh kerana kali pertama menjejak kaki di Kem Jubli Intan mengambil sedikit masa untuk mencari sub-kem yang menempatkan kontinjen negeri Selangor. Dari jauh ternampak bendera Selangor yang gah berkibar di atas bukit sub-kem Endau Rompin. Melintasi padang kawad dalam cuaca panas terik, kelihatan tersergam indah menara JAJ setinggi bangunan 4 tingkat. Kelihatan juga khemah-khemah diraja dan tetamu kehormat dihias rapi, dan pihak urus setia yang sedang sibuk membuat persiapan terakhir untuk majlis pearasmian pembukaan yang dihadiri oleh TMJ  Tengku Ibrahim Ismail. Setelah menjejaki beberapa anak-anak tangga, sampai di atas bukit dapat dilihat beberapa kontinjen daerah negeri Johor dan beberapa kontinjen kecil dari Indonesia (Sumatera dan Kalimantan Barat) berkongsi bukit tersebut bersama kontinjen negeri Selangor. Masing-masing sedang sibuk menghias tapak kehmah.

Tiba di khemah negeri Selangor, urus setia pameran sedang sibuk membuat persediaan bahan-bahan visual yang akan dipamerkan di khemah kontinjen Selangor. Sempat berbual dengan SC dan ASC tentang kontinjen dan perkhemahan, dan seterusnya melawat tapak khemah kontinjen Selangor yang ketika itu sedang menikmati santapan tengahari. Sempat beramah-mesra dengan beberapa orang rakan-rakan pemimpin, kami dipelawa untuk merasai nasi dan lauk perkhemahan di dapur kontinjen Selangor. Rezeki jangan ditolak...terima kasih kepada urus setia masakan yang di ketuai Pn Norsham (DC Tg Karang) atas pelawaan dan menu tengahri yang menyelerakan (nasi putih+ayam masak tomato+sayur campur+sirap). Selesai santap tengahari, bergerak ke khemah untuk bertanya khabar anak-anak buah (52husel) dan kami sempat merakamkan gambar kenangan dengan kontinjen Kalimantan Barat (Kalbar) yang berada bersebelahan dengan kem kontinjen Selangor. Daripada air muka anak-anak buah tu, nampak mereka gembira berada di JAJ, cuma kedengaran sedikit kes-kes seperti serangan ulat bulu, ditimpa dahan pokok, dan kesukaran untuk mendapat bekalan air untuk mandi, yang lain semua okay.

Dalam pada masa yang sama, sempat berjumpa rakan-rakan lama seperguruan di MPSAH (Zulkifli dan Nordin) yang sememangnya aktif dalam pengakap sejak dahulu lagi. Dalam tempoh masa yang singkat, bergerak menuju sub-sub kem yang lain di kaki bukit, tapi tidak berkesempatan untuk bertanya khabar kerana setiap kontinjen sedang bergerak ke lapang kawad untuk majlis perasmian. Kami hanya sekadar melalui tapak-tapak khemah mereka dan merakam gambar-gambar mana yang sempat sahaja (rasa terkilan sebab tak berpeluang berjumpa 'admin-admin' blog pengakap daripada negeri-negeri lain). Rasa terkilan bercampur sedikit kecewa kerana masa yang begitu singkat berada di Kem Jubli Intan, Tg Labuh. Kalau diikutkan hati, ingin rasanya tinggal untuk semalam lagi bagi merasai kemeriahan jambori dan menyaksikan anak-anak buah mengikuti aktiviti kemahiran pengakap yang disediakan. Tapi, ada tugas penting yang perlu dilaksanakan keesokan hari. Kepada kontinjen Selangor diucapkan syabas, dan buktikan kemampuan dengan kemahiran-kemahiran pengakap yang tinggi, selaras dengan kekuatan anggota sebagai 'kontinjen terbesar' menyertai JAJ2008...Selamat berjambori...



No comments: