16 February 2009

Catatan Pengalaman - Taman Negara

Salam pengakap, dalam minggu lepas sibuk membuat perancangan aktiviti pasukan 52husel dan teringat pengalaman tahun 1992 ketika membawa PKK SK Klang Gate (Kump. Ke-10 Gombak, ketika itu) ke Taman Negara, Pahang.

Perjalanan bermula dari perkarangan sekolah menaiki bas ke Kuala Tembeling. Setibanya di sana kami menuggu bot panjang untuk ke Taman Negara. Turut serta dalam program tersebut seramai 30 orang pengakap kanak-kanak dan 10 orang guru. Apabila bot yang ditempah tiba, kami mula memunggah barang-barang kelengkapan (khemah, peralatan dapur dan bahan mentah makanan) ke dalam bot. Dan, setelah semuanya selesai kami mula bergerak ke Kuala Tahan. Perjalanan ke Taman Negara mengambil masa 3 jam 30 minit menyusuri Sungai Tembeling.

Di Taman Negara kami berkhemah di tapak khemah yang disediakan, sebanyak 12 buah khemah didirikan untuk kegunaan kami sepanjang berada di sana. Selesai mendirikan khemah, hujan turun dengan lebat dan kami hanya duduk di dalam khemah masing-masing dan sesekali terasa aliran air hujan melalui bawah khemah memandangkan kawasan tapak khemah tersebut adalah di lereng bukit. Pada sebelah malam kami mendengar taklimat daripada Perhilitan mengenai flora dan fauna yang berkaitan dengan 'Hutan Tertua Di Dunia' itu.

Awal pagi keesokan hari, kami bertolak ke Lata Berkoh dengan berjalan kaki menyusuri persisiran sungai. Perjalanan mengambil masa yang agak panjang kerana kami perlu melintasi sungai di beberapa tempat, tambahan pula air sungai agak tinggi ketika itu. Sampai di sana kami rehat seketika untuk menyaksikan keindahan alam di situ. Sebelah malam, kami bergerak ke bumbun tahan untuk memerhati haiwan-haiwan liar yang menjilat garam di jenut yang ada di situ.

Pada hari ke-3, selepas bersarapan kami pergi 'treking' ke Bukit Teresek, perjalanan mengambil masa 2 jam untuk tiba di atas bukit tersebut. Di sana kami dapat melihat puncak Gunung Tahan dengan jelas, dan setelah berehat di situ untuk seketika kami mula bergerak ke tapak perkhemahan. Dalam perjalanan kami dapat melihat flora dan fauna yang ada di situ dan juga melihat perkampungan orang asli yang ada di taman negara. Pada sebelah malam semua ahli keletihan dan tidur awal, kami/guru mengambil peluang 'mengeteh' di gerai yang ada di Kuala Tahan.

Pada hari ke-4 kami mula bertolak pulang, melalui sungai dengan menaiki bot. Sepanjang perjalanan semua ahli yang turut serta tidur keletihan dalam bot menuju Kuala Tembeling dan seterusnya menaiki bas pulang ke Klang Gate.

Terima kasih kepada Pemimpin Kumpulan 10 Gombak Tn Kamaruddin Ahmad (Karam) yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu kepengakapan beliau dengan kami semua. "Take Nothing But Photograph, Leave Nothing But Footprints" Insyaalah akan ke Taman Negara semula dengan ahli-ahli 52husel dalam bulan Oktober 2009.

No comments: