21 November 2008

Pulang dari Jambori Antarabangsa Johor

Selesai sudah Jambori Antarabangsa Johor 2008 di Tg Labuh, Batu Pahat, Johor. Pada 20 November jam 5.30 petang kawan pergi mengambil budak-budak (5 orang) di tempat mereka diturunkan dari bas di Sg Choh. Setibanya kawan di situ, mereka sudahpun menunggu di hentian bas. Dalam keadaan hujan rintik-rintik dari jauh kelihatan mereka melambai-lambaikan tangan ke arah kawan. Sebaik sahaja kereta di'park', mereka terus membuka 'boot' dan memasukkan barang-barang masing-masing (beg, baldi, tongkat, periuk dan sebagainya). Sempat juga mereka bersalam-salaman dengan rakan-rakan satu kontinjen dari sekolah lain. Setelah semua mereka masuk, dan pintu kereta ditutup, mmm...satu bau yang kurang enak dikesan oleh deria bau, disebabkan di luar sedang hujan jadi tingkap kereta tidak dibuka. Sepanjang jalan bau-bauan itu berterusan, menurut mereka pagi tadi mereka tak sempat mandi (sama ada tak ada air di kem atau tak berkesempatan mandi kawan tak pasti...).Tidak mengapalah asalkan mereka semua sihat dan selamat pulang.

Dalam perjalanan pulang ke sekolah, macam-macam yang mereka ceritakan tentang pengalaman di JAJ2008, cerita tentang aktiviti kepengakapan, tentang khemah patah, hujan lebat dikem, nampak benda-benda tertentu (misteri), jadi pembantu masakan dan lain-lain lagi. Selain bercerita, mereka juga menunjukkan lencana-lencana yang diperolehi, sama ada yang ditukar-tukar atau yang dibeli. Menurut budak-budak tu lagi, lencana kontinjen Selangor yang paling popular sehinggakan ada yang sanggup menawarkan 12 pelbagai koleksi lencana untuk 1 lencana kontinjen Selangor. Selain itu mereka juga sempat berkenalan dan bertukar-tukar nombor telefon dan emel dengan rakan-rakan baru sama ada dari dalam dan juga luar negara.

Sampai sahaja diperkarangan sekolah, mereka terus menelefon ibu bapa masing-masing untuk menjemput mereka pulang. Sementara menanti ibu bapa mereka sampai, sempat lagi bergambar 'full uniform' dengan aksesori perkhemahan seperti skaf, nametag, lencana-lencana perkhemahan dan tongkat masing-masing. Di samping itu cerita-cerita mengimbau pengalaman berjambori masih berterusan. Mereka mula beredar secara beransur-ansur apabila ibu bapa masing-masing tiba untuk menjemput mereka. Setelah mereka semua pulang, tinggallah kawan berseorangan duduk di'bus lay' untuk seketika. Dalam keseorangan itu, kawan terfikir betapa seronok dan beruntungnya mereka dapat menyertai JAJ2008. Kawan pulak...hanya tumpang gembira apabila melihatkan keseronokan yang terbayang pada muka budak-budak tu....

18 November 2008

Seketika di Jambori Antarabangsa Johor (JAJ) 2008

Dalam kesibukan menguruskan tugas pengawasan SPM dan keluarga, kawan berkesempatan menjenguk anak-anak buah (kontinjen husel) yang menyertai JAJ2008. Bertolak dari KL jam 11 malam bersama tuan DC dan SU Kehormat, bergerak menuju ke selatan melalui lebuhraya KL-Seremban. Jam 2 pagi singgah di R&R Seremban untuk meredakan mata yang mula mengantuk. Setelah segelas nescafe tarik disantap, dan melepaskan ketagihan, mula bergerak menuju Pontian (kampungg SU Kehormat) dan tiba di Pontian jam 5.30 pagi. Sempat minum di restoran mamak tepi laut dengan menu sarapan subuh: capati dan teh tarik, dan selepas itu bertolak semula ke kampung SU di Pekan Nanas. Selesai solat subuh, melelapkan mata untuk seketika dan bertolak ke Tg Labuh, Batu Pahat jam 10 pagi daripada rumah ibubapa SU.

Tiba di Kem Jubli Intan jam 12.30 tengahari, kami dihalakan ke tempat letak kereta berhampiran lapangan terbang kerana jalan masuk telah ditutup untuk orang ramai.Dan, perlu meredah semak-samun (jalan pintas) untuk sampai ke tapak kem. Oleh kerana kali pertama menjejak kaki di Kem Jubli Intan mengambil sedikit masa untuk mencari sub-kem yang menempatkan kontinjen negeri Selangor. Dari jauh ternampak bendera Selangor yang gah berkibar di atas bukit sub-kem Endau Rompin. Melintasi padang kawad dalam cuaca panas terik, kelihatan tersergam indah menara JAJ setinggi bangunan 4 tingkat. Kelihatan juga khemah-khemah diraja dan tetamu kehormat dihias rapi, dan pihak urus setia yang sedang sibuk membuat persiapan terakhir untuk majlis pearasmian pembukaan yang dihadiri oleh TMJ  Tengku Ibrahim Ismail. Setelah menjejaki beberapa anak-anak tangga, sampai di atas bukit dapat dilihat beberapa kontinjen daerah negeri Johor dan beberapa kontinjen kecil dari Indonesia (Sumatera dan Kalimantan Barat) berkongsi bukit tersebut bersama kontinjen negeri Selangor. Masing-masing sedang sibuk menghias tapak kehmah.

Tiba di khemah negeri Selangor, urus setia pameran sedang sibuk membuat persediaan bahan-bahan visual yang akan dipamerkan di khemah kontinjen Selangor. Sempat berbual dengan SC dan ASC tentang kontinjen dan perkhemahan, dan seterusnya melawat tapak khemah kontinjen Selangor yang ketika itu sedang menikmati santapan tengahari. Sempat beramah-mesra dengan beberapa orang rakan-rakan pemimpin, kami dipelawa untuk merasai nasi dan lauk perkhemahan di dapur kontinjen Selangor. Rezeki jangan ditolak...terima kasih kepada urus setia masakan yang di ketuai Pn Norsham (DC Tg Karang) atas pelawaan dan menu tengahri yang menyelerakan (nasi putih+ayam masak tomato+sayur campur+sirap). Selesai santap tengahari, bergerak ke khemah untuk bertanya khabar anak-anak buah (52husel) dan kami sempat merakamkan gambar kenangan dengan kontinjen Kalimantan Barat (Kalbar) yang berada bersebelahan dengan kem kontinjen Selangor. Daripada air muka anak-anak buah tu, nampak mereka gembira berada di JAJ, cuma kedengaran sedikit kes-kes seperti serangan ulat bulu, ditimpa dahan pokok, dan kesukaran untuk mendapat bekalan air untuk mandi, yang lain semua okay.

Dalam pada masa yang sama, sempat berjumpa rakan-rakan lama seperguruan di MPSAH (Zulkifli dan Nordin) yang sememangnya aktif dalam pengakap sejak dahulu lagi. Dalam tempoh masa yang singkat, bergerak menuju sub-sub kem yang lain di kaki bukit, tapi tidak berkesempatan untuk bertanya khabar kerana setiap kontinjen sedang bergerak ke lapang kawad untuk majlis perasmian. Kami hanya sekadar melalui tapak-tapak khemah mereka dan merakam gambar-gambar mana yang sempat sahaja (rasa terkilan sebab tak berpeluang berjumpa 'admin-admin' blog pengakap daripada negeri-negeri lain). Rasa terkilan bercampur sedikit kecewa kerana masa yang begitu singkat berada di Kem Jubli Intan, Tg Labuh. Kalau diikutkan hati, ingin rasanya tinggal untuk semalam lagi bagi merasai kemeriahan jambori dan menyaksikan anak-anak buah mengikuti aktiviti kemahiran pengakap yang disediakan. Tapi, ada tugas penting yang perlu dilaksanakan keesokan hari. Kepada kontinjen Selangor diucapkan syabas, dan buktikan kemampuan dengan kemahiran-kemahiran pengakap yang tinggi, selaras dengan kekuatan anggota sebagai 'kontinjen terbesar' menyertai JAJ2008...Selamat berjambori...



15 November 2008

Perjumpaan dengan SC

Ahad (9 November), kawan telah menghadiri satu majlis perjumpaan SC dengan semua DC dan ADC. Sebenarnya tidak terlibat pun dengan majlis tu, sebab kawan hanya LA (epolet hijau) sahaja, tapi atas dasar memberi sokongan kepada rakan-rakan ADC Hulu Selangor, kawan pun turut serta dengan rakan karib Setiausaha Kehormat (epolet hijau juga...) untuk memeriahkan majlis memandangkan DC tak dapat hadir kerana mengikuti kursus PTK. Mulanya rasa janggal juga, sebab hanya kami berdua (epolet hijau...LA) yang datang, lain-lain semuanya DC dan ADC daerah masing-masing. Syabas kepada rakan-rakan yang menerima watikah pelantikan DC dan ADC untuk tempoh 2 tahun (2008 - 2009), semoga dapat menjalankan tugas dan tangungjawab yang diamanahkan. Sesekali terlintas di fikiran, okay juga kalau jadi ADC berbanding LA, dapat penghormatan dalam majlis besar, dan ada watikah pelantikan lagi berbanding LA yang hanya dilantik melalui mesyuarat agung. Tapi tidak mengapa, tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan Bendahari Kehormat tetap akan dilaksanakan (tapi..rasa dah lama sangat pegang jawatan tu, DC pun dah bertukar ganti..) Dalam majlis itu juga, penyampaian bendera telah disampaikan kepada kontinjen negeri Selangor. Syabas, kepada rakan-rakan yang telah diamanahkan menjaga kontinjen negeri, tolong tengok-tengokkan budak-budak kawan tu (52husel) dan juga anak-anak buah kawan daripada PPM Hulu Selangor. Sekali pengakap, terus berpengakap...

03 November 2008

Kerja...kerja...kerja

Minggu lepas merupakan minggu yang paling sibuk dalam tahun 2008. Apa tidaknya, dalam minggu tu hanya ada dua hari persekolahan kerana sekolah mengambil cuti sempena Deepavali sehingga Rabu. Hari Khamis (30 Oktober) terlibat dengan taklimat pengawasan SPM, dan esoknya terlibat dengan PSKPP. Maknanya seminggu tak pergi sekolah, minggu ni nampaknya sibuk juga sebab nak uruskan budak-budak pengakap ambil kertas peperiksaan akhir tahun yang tertunda(sebab tarikh serentak dengan kempori). Dalam pada masa yang sama juga ada tugas menguruskan program-program selepas PMR budak-budak tingkatan 3. Minggu depan cadangan tu nak buat penyampaian lencana kemajuan budak-budak pengakap yang layak naik lencana. Mmm...khemah dan alat-alat perkhemahan hari tu pun belum 'setel' lagi, jadi miggu ni pun sibuk juga nampaknya, macam dialog cerita Labu-Labi...sebelum tutup mata kerja, kerja,kerja...Tak mengapalah sudah menjadi tugas dan tanggungjawab. Mungkin hari Selasa ni, perlu ke PPD Hulu Selangor sebab urusan surat menyurat dan kewangan kontinjen daerah yang akan menyertai Jambori Antarabangsa Johor 2008 (JAJ). Dalam minggu ini juga ada taklimat pengawasan SPM, ada kem RIMUP dan macam-macam lagi. Sesekali terfikir juga, orang lain sibuk macam ni juga ke...sibuknya mengalahkan YB wakil rakyat. Tapi apa pun juga...amanah dan tanggungjawab perlu dilaksanakan.